Aku tinggalkan terus hari bahagia itu, raikan cinta selama 2 hari. Bergegas untuk 2 destinasi yang ingin di tuju. Cantik amat susunan jadual, tak menggopoh malahan puas rasa di hati. Dalam perjalanan ku cerita pada Ashraff pembukaan dan apa istimewanya tanah FELDA, dia mendengar sambil mengagumi bait bait bicara yang aku ceritakan, apabila melintasi exit KARAK, aku bercerita lagi, kali ini tentang apa desas-desus cerita seram yang sering berlaku di sini, namun dia hanya terdiam sambil mengangguk...
Perjalananku jauh melintasi masa yang kian ditinggalkan, kali ini aku diam, dia pula menceritakan apa yang mahu dikongsi, kerana sempadan itu bukan lagi laluanku yang biasa aku arif tentangnya.
Hari ini aku mahu tunaikan janji untuk pertama kalinya, mahu turut pelawa Ashraff buat perkara yang mudah dengan ganjaran pahala. Setelah sekian lama pemanduan aku dan Ashraff sampai destinasi. PUSAT DARAH NEGARA (PDN) . Bila mana ini yang pertama, aku mula cemas senyum dah tak terukir dibibir, kebil-kebil aku memandang seluruh sudut.
Pelbagaian rasa dalam jiwa ni, namun setelah dilayani dan di beri nasihat serta tips-tips petugas di sana aku mula tenang. prosedur pengambilan darah dimulakan, ketika itu aku minta petugas di sana membius tangan ku terlebih dahulu. Setelah selesai aku hanya mampu memandang Ashraff dengan senyuman yang ikhlas.
Kepuasan di hati ini mengundang tindakbalas positif, aku mula memikir banyak tentang perihal ini, aku mula tersentuh membaca risalah yang ada, terdapat ramai pesakit yang memerlukan sumbangan ini, namun masih lagi kurangnya penyumbang untuk menderma darah.
Padaku, hari ini aku menjadi yang sangat ikhlas. Setiap anggota tubuh badanku ini semua bersifat pinjaman, suatu masa andai jasad terpisah nyawa semua ini pasti hancur. Ya Tuhan terima kasih dengan kurniamu, ku kongsikan apa yang ku ada ini untuk yang lain lainnya, Aku mahu kau melihat bahawa aku juga punya sifat sedar, bahawa setiap apa yang kau izin dan berikan didunia ini semuanya atas dasar pinjaman dan sementara.
Duhai darahku, bercinta mesralah dalam diri-diri mereka itu ya. Tak perlu kau mengira dalam tubuh mana yang kau akan resap, india , melayu, cina, atau lain-lain bangsa, yang nyata mereka juga insan sepertiku, duhai darahku jangan kau mengira tentang buddha, katolik, hindu, islam atau apa saja jenis agamanya, kerana mereka juga sepertiku, mempunyai warna darah yang sama.....
Kini tanpa aku sedari, masuk 6 tahun aku menjadi salah seorang penderma darah, buat kalian semua lakukan ini, banyak manfaat....bantulah mereka yang memerlukan, boleh jadi suatu masa dikalangan mereka ini, abang,kakak, ayah , ibu, adik, kawan atau diri kita sendiri.....ikhlaskanlah hati dan perbuatan pastinya pahala kalian perolehi serta kesihatan juga terpelihara.
Apapun terima kasih Ashraff tunjukku jalan pintasan pahala.....
Pendermaan tidak hanya tertumpu kepada darah merah sahaja, malah terdapat komponen-komponen lain di dalam darah yang boleh di dermakan antaranya :
Penderma ‘Whole blood’
Darah mengandungi komponen-komponen seperti berikut:
Sel darah merah
Sel darah putih
Platelet
Plasma
Darah diperlukan untuk kes-kes pembedahan, mangsa kemalangan, merawat pesakit leukemia, barah, thalassemia, penyakit jantung, komplikasi pendarahan semasa bersalin, haemophilia dan lain-lain. Isipadu darah yang biasanya didermakan adalah sebanyak 450ml iaitu kurang daripada 1 pain darah (568ml). Jumlah darah yang diambil adalah berdasarkan berat badan.
Masa yang diambil untuk menderma darah adalah di antara 7 hingga 10 minit tetapi anda dinasihatkan supaya berada di tempat menderma selama lebih kurang 1 jam. Sebelum menderma darah anda dinasihatkan supaya mengambil sedikit makanan sebagai mengalas perut. Darah merah yang telah didermakan memerlukan masa selama 4 – 8 minggu untuk digantikan semula manakala plasma pula selama 24 jam.
Pendermaan Aferesis
Pendermaan komponen darah iaitu plasma atau platelet ataupun kedua-duanya sekali, dimana komponen darah yang tidak diperlukan dikembalikan ke dalam badan penderma semula.
No comments:
Post a Comment